Saturday, July 30, 2011

Mata Kabur



Kenapa Pandangan Mata Mula Pudar

Oleh ZUHAYATI YAZID

Bayangkan melihat sebatang tiang yang tegak tetapi pada pandangan ia seperti kabur di tengah dan juga condong ke kiri atau ke kanan.

Begitu juga bila melihat sebuah kereta yang laju di jalan raya tetapi pada pandangan, kereta tersebut menyondong ke tepi seolah-olah tidak stabil dan pudar pada bahagian tengah.

Jika itu yang dialami, segerakan berjumpa pakar mata kerana ia petanda awal kepada gejala kemerosotan atau degenerasi makular berkaitan usia (Age-related Macular Degeneration – AMD)

Ia adalah sejenis penyakit mata yang boleh menjejaskan penglihatan pusat tajam yang diperlukan untuk aktiviti pandangan ‘lurus ke depan’ mata seperti membaca, memandu kereta, mengecam muka dan sebagainya yang memerlukan penelitian.

”Namun, jika dikenal pasti lebih awal, pesakit mempunyai peluang yang cerah untuk menghalang perkembangannya malah boleh mendapatkan semula penglihatan yang hilang melalui rawatan terkini,” Kata Pensyarah Kanan Bahagian Ophtalmic Universiti Malaya, Dr. Ahmad Fauzi Mohd. Sharif.

Tegas beliau lagi, AMD adalah penyakit mata kronik dan menjadi salah satu punca utama kehilangan penglihatan yang serius di kalangan golongan dewasa yang berumur 50 tahun ke atas.

Penyakit ini berkait rapat dengan proses penuaan di mana secara perlahan-lahan ia merosakkan bahagian tengah penglihatan atau makular.

”Bahagian makular diperlukan untuk melihat objek secara jelas, selain bagi tujuan menjalankan aktiviti biasa seperti membaca atau memandu.

“Dalam kes-kes tertentu, proses perkembangan AMD berlaku terlalu perlahan sehingga penghidapnya langsung tidak merasai perubahan pada penglihatannya.


”Tambahan pula, AMD tidak menyebabkan rasa sakit. Sesetengah pesakit pula merasakan AMD berlaku terlalu pantas sehingga menjurus kepada kehilangan kedua-dua daya penglihatan,” jelasnya lagi.

Dr. Ahmad Fauzi menerangkan, AMD boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu lembap atau kering.

Bagaimanapun AMD kering lebih banyak berlaku berbanding kes AMD lembap.

Bahkan daripada keseluruhan kes AMD, kira-kira 70 peratus adalah kes AMD kering berbanding 30 peratus AMD lembap.

AMD lembap terjadi apabila urat-urat darah abnormal di bahagian belakang retina mulai tumbuh di bawah makular.

Oleh kerana urat-urat darah ini masih baru dan ‘mentah’, kecenderungannya untuk pecah sehingga terkeluar cecair atau darah mudah berlaku.

”Darah dan cecair ini menaikkan makular daripada kedudukan normal di belakang mata. Jadi, kerosakan pada makular berlaku lebih pantas,” katanya.

Oleh kerana kerosakan pada bahagian tengah penglihatan terjadi dengan pantas, maka AMD jenis ini juga dikenali sebagai AMD tahap awal – tidak seperti AMD jenis kering yang boleh berlaku secara berperingkat-peringkat.

”Begitupun simptom awal AMD lembap lebih mudah dikesan iaitu jika pesakit mendapati garisan lurus kelihatan seakan bengkang-bengkok,” terang Dr. Ahmad Fauzi .

Sementara itu, AMD kering pula terjadi apabila sel yang sensitif pada cahaya di makular mati secara perlahan-lahan sehingga menyebabkan penglihatan bahagian tengah menjadi kabur. Lebih teruk, AMD kering boleh mengakibatkan penghidapnya melihat titik kabur pada tengah-tengah penglihatan.

Simptom yang dialami oleh pesakit yang mengalami AMD kering adalah penglihatan yang sedikit kabur.

”Penghidapnya mungkin sukar mengenali wajah orang lain dan memerlukan lebih banyak cahaya untuk melakukan aktiviti harian seperti membaca buku,” katanya sambil memberitahu AMD kering lazimnya menjejaskan kedua-dua belah mata.

Kata Dr. Ahmad Fauzi lagi, AMD biasanya menyerang pesakit dalam keadaan senyap tanpa merasakan kesakitan pada mana-mana bahagian dan juga sebarang perubahan pada penglihat

No comments: